CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

AHLAN WASAHLAN


Wednesday, May 26, 2010

Buat Apa Pakai Tudung Kalau Hati Tak Betul



Bismillahirahmannirahim.
Assalammualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.Hari ini ana nak berkongsi sebuah artikel yang sangat sesuai dengan fenomena pada zaman serba moden ini.

“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”.
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”.

Ungkapan-ungkapan begini kerap menjadi alasan sebahagian wanita untuk tidak menutup aurat. Ada juga beralasan demikian untuk menangguhkan dahulu pemakaian tutup aurat buat sementara waktu. Apabila dalaman sudah sempurna, dan hati sudah bersih, barulah sampai waktu untuk melakukan kewajipan lahiriah, seperti menutup aurat.

Kalau alasan begini keluar dari mulut seorang muslimah disebabkan kejahilan, ia sudah cukup menunjukkan satu musibah terhadap dirinya. Kerana kewajipan menutup aurat adalah perkara asas dalam Islam, yang termasuk kategori ‘perkara yang dimaklumi dalam agama secara pasti’.

Tetapi jika seorang muslimah beralasan demikian kerana berhelah dalam kata-kata, sedangkan dia tahu dosa mendedahkan aurat, maka ini adalah musibah yang sangat besar. Bak kata pepatah Arab, “Jika engkau tidak tahu, ia satu musibah. Tetapi jika engkau tahu, maka musibahnya lebih besar”.

Apakah jawapan untuk menjawab mereka yang mendedahkan aurat dengan beralasan demikian?

1- Alasan bahawa tidak perlu menutup aurat kalau hati masih tidak betul. Tunggu iman sudah sempurna barulah nak tutup aurat.

Kita mengambil contoh undang-undang jalan raya. Setiap penunggang motorsikal di atas jalanraya diwajibkan memakai topi keledar keselamatan. Peraturan ini hendaklah dipatuhi samada pengguna selesa memakai topi keledar atau tidak. Samada dia memakai secara ikhlas mematuhi peraturan atau kerana terpaksa.

Seorang pesalah yang berdepan saman trafik kerana tidak memakai topi keledar, bolehkah dia memberi alasan dia tidak selesa memakainya, ataupun dia masih tidak setulus hati memakainya? Kalau hatinya sudah ikhlas mematuhi peraturan kerajaan, dia akan memakainya satu hari nanti. Adakah boleh diterima alasan demikian?

Begitu juga pemakaian tutup aurat adalah satu undang-undang ketetapan Allah Taala atas setiap mukallaf, tanpa mengambil kira tahap imannya. Tanpa mengira tahap keikhlasan dan ketulusan hatinya. Setiap orang yang bergelar muslim dan muslimah wajib menerimanya samada suka atau tidak, rela atau terpaksa. Hati bersih atau tidak, bukan alasan untuk meninggalkan kewajiapan menutup aurat.

2- Alasan bahawa walaupun dia mendedahkan aurat, tetapi dia menjaga maruahnya, tidak melakukan perkara yang tidak senonoh.

Sekali lagi kita mengambil contoh seorang penunggang motorsikal yang tidak memakai topi keledar keselamatan, kononnya dia seorang yang cermat di jalan raya. Tidak menunggang laju, apatah lagi melanggar lampu isyarat merah. Pada perkiraannya tidak mungkin berlaku kemalangan. Adakah alasan demikian diterima untuk mengecualikannya daripada peraturan topi keledar keselamatan?

Tidak sekali-kali. Walaupun dia mendakwa bahawa dia cermat, adakah dia boleh menjamin pemandu-pemandu kenderaan lain juga sepertinya? Betapa ramai pengguna jalan raya terkorban bukan kerana kesalahan dirinya, tetapi akibat kecuaian pemandu lain di hadapan atau belakangnya.

Begitu juga kalau ada wanita mendakwa bahawa hatinya suci, imannya tinggi, amalannya soleh dan maruahnya terjaga. Kononnya ia sudah cukup menjamin keselamatan diri dan maruahnya, tanpa perlu menutup aurat. Atau mendakwa bahawa mendedahkan aurat tidak akan menyebabkan dia melakukan jenayah lain.

Tetapi adakah dia berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat auratnya mempunyai hati sesuci hatinya dan iman setinggi imannya juga? Langsung tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan dan belakangnya?

Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat.

Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling.

Kesimpulannya, pemakaian menutup aurat adalah wajib atas setiap muslim dan muslimah, tanpa mengira tahap iman dan ikhlasnya. Dan Kewajipan wanita menutup aurat bukan setakat bagi memelihara maruahnya, tetapi bagi menjaga kemaslahatan masyarakat sekelilingnya.

Sekian.

BY ABU UMAIR

0 comments: